Lebih besar kenderaan, lebih besar kemusnahan

“KOTA BHARU: Kemalangan yang mengorbankan tujuh sekeluarga berpunca daripada sebuah lori tiga tan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta.” Begitulah antara berita malang yang kita terima semalam.


Kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan seperti lori dan bas pada kebiasaannya akan menyebabkan kesan kemusnahan yang lebih besar! Sering kali kelihatan para pemandu bas dan lori memandu melebihi had laju dan agak melulu seolah-olah sedang mengendalikan kenderaan yang lebih kecil seperti van dan kereta. Mungkin mereka berasakan yang mereka lebih “berkuasa” dan “kebal” berbanding pengguna jalan raya yang lain yang lebih kecil dan terdedah kepada bahaya..

Semalam saya meluangkan sedikit masa untuk bersembang dengan Ketua Pengajar Memandu di Institut Memandu tempat saya bertugas, di mana beliau sendiri mempunyai pengalaman sebagai seorang pemandu bas ekspress untuk beberapa syarikat pengangkutan. Beliau berkongsi beberapa maklumat yang bagi saya perlu mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa. Antara perkara yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan bagi kenderaan perdagangan ini adalah selain daripada masalah kerosakan komponen kenderaan (kos yang semakin meningkat tidak sepadan dengan harga tiket tambang, mungkin menyebabkan pengusaha “berjimat cermat” dalam hal penyelenggaraan kenderaan mereka), masalah para pemandu yang “terpaksa” bekerja lebih masa dan di luar kemampuan mereka sebagai seorang manusia mungkin antara penyebab utama kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan berlaku. Ada lagi perkara yang saya rasa kurang sesuai untuk dikongsikan di sini kecuali dengan pihak berkuasa, maka kita rumuskan kegagalan manusia mengendalikan kenderaan dengan selamat boleh dikatakan antara punca utama dalam kejadian sedemikian.

Mengikut pemerhatian rambang yang saya lakukan, kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan tidaklah sebanyak dan sekerap kenderaan persendirian yang lain seperti kereta dan motosikal. Namun seperti yang saya katakan, jika berlaku kemalangan, skala kemusnahan dan kematian biasanya akan lebih besar dan ramai. Kita juga sering mendengar yang ada sebilangan pemandu kenderaan perdagangan terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan pil kuda, kononnya sebagai “ubat kuat” untuk memberikan mereka tenaga dan “daya tahan” untuk menjalankan tugasan yang diberikan, yang mungkin telah melangkaui tahap yang sepatutnya badan manusia menanggung.

Seperti pengguna jalan raya yang lain juga, para pemandu kenderaan perdagangan perlu diberi kursus khas tentang pemanduan berhemah supaya dapat didedahkan secara intensif ilmu-ilmu tentang pemanduan berhemah yang perlu mereka tahu, faham dan amalkan. Tanpa ilmu yang sepatutnya, mereka mungkin tidak sedar tentang tanggungjawab yang sangat berat yang mereka perlu pikul sebagai pemandu kenderaan yang lebih besar dan berat tersebut. Mereka perlu sedar, jika berlaku kecuaian dari pihaknya, kemalangan dalam skala yang lebih besar mungkin boleh berlaku. Kenderaan besar dan berat memerlukan jarak yang lebih jauh dan masa yang lebih lama untuk berhenti jika berlaku sesuatu. Oleh sebab itu, para pemandu kenderaan sedemikian perlu bertanggungjawab dan berdisiplin dalam mematuhi had laju yang telah ditetapkan kepada kenderaan mereka. Had laju yang ditetapkan juga sebenarnya adalah had laju yang MAKSIMUM dan seringkali tidak selamat dan sesuai untuk digunakan di semua tempat dan masa. Para pemandu perlu bijak dalam menilai sendiri keadaan sekitar dan jalan raya sebelum membuat keputusan untuk menentukan kelajuan yang sesuai. Buat masa ini, majoriti pemandu kenderaan perdagangan hanyalah “lepasan” Institut/Sekolah Memandu di mana mereka diberi latihan asas untuk tujuan mendapatkan lesen memandu selepas lulus ujian pemanduan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi pendapat saya, latihan asas tersebut tidak cukup untuk memastikan seseorang pemandu menjadi pemandu yang kompeten dan berhemah. Mereka perlu dilatih secara lebih intensive sebaik sahaja mendapat lesen memandu kenderaan perdagangan mereka oleh pihak-pihak yang profesional dalam pemanduan kenderaan berat. Selepas lulus dan berjaya menamatkan kursus intensif tersebut, maka barulah para pemandu perdagangan ini dibenarkan berkhidmat dengan majikan masing-masing. Para majikan juga perlulah lebih bertanggungjawab dalam memastikan mereka telah mendapat pemandu yang benar-benar kompeten bukan sahaja dari segi kemahiran, tetapi pengetahuan dan juga sikap yang baik. Janganlah diutamakan keuntungan semata-mata. Nyawa manusia tidak ternilai harganya dibandingkan dengan perniagaan yang dijalankan.

“Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Kita Bersama”

Pautan berita kemalangan semalam di sini 7 maut lori langgar 3 kereta

Leave a comment