“ALAMAK! KENAPA ANAK AKU NI??!”

“ALAMAK! KENAPA ANAK AKU NI??!”

“MEMPERKENALKAN SATU ALAT UNTUK KESELAMATAN KANAK-KANAK DI DALAM KENDERAAN YANG DIKENALI SEBAGAI ‘CARSEAT‘!!”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“APA KEBENDANYA TUUU??”

Tak pernah dengar atau lihat ke? Ia adalah kerusi keselamatan untuk kanak-kanak yang mana akan diletakkan dan dipasang di kerusi belakang kenderaan (kecuali motosikal). Ia juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti ‘childseat‘ atau ‘carseat‘.

“KENAPA PULAK KENA PAKAI BENDE ALAH TUU?”

Tujuan utama penggunaan “bende alah” ni adalah untuk memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan yang lebih selamat jika DITAKDIRKAN TUHAN berlaku perlanggaran di jalan raya. Risiko kanak-kanak tercampak/terpelanting ke dalam atau keluar kenderaan akan dapat diatasi.

“ANAK SAYA KAT RUMAH PUN LOMPAT SANA SINI JATUH OK JERK!!?”

Ya betul, kanak-kanak memang bersifat sedemikian, adakalanya sangat aktif.. Melompat-lompat, berlari-lari dan terjatuh akibat tersandung kaki atau apa sahaja di luar kenderaan mungkin hanya akan menyebabkan kecederaan yang agak mininum.


Akan tetapi, di dalam kenderaan yang bergerak, walaupun hanya pada kelajuan 50 km/j, jika berlaku perlanggaran, kepala kanak-kanak mungkin boleh tercampak ke arah cermin hadapan kenderaan yang mana daya hentakan itu bersamaan kanak-kanak dicampak dari tingkat 3 bangunan.

Anak anda tidak akan cedera hanya jikalau anak anda hanyalah anak patung 🤓

“GAMBAR BUDAK NI BUKANNYA CEDERA SEBAB TERHEMPAS PADA CERMIN HADAPAN KERETA KAN??!”

Ya benar, tidak perlu untuk tercampak ke arah cermin hadapan kenderaan untuk membolehkan seseorang kanak-kanak itu cedera. Di dalam kenderaan, risiko atau peluang untuk seseorang itu tercedera sangat tinggi kerana banyak bahagian atau bucu-bucu di dalam kenderaan yang nampaknya macam tak bahaya tetapi sebenarnya cukup merbahaya!

Perlanggaran tidak semestinya dari hadapan, mungkin kanak-kanak akan cedera (ringan atau parah) akibat perlanggaran dari sebelah tepi (kepala terhempas pada cermin tingkap tepi). Jika “nasib” tidak baik, kanak-kanak boleh tercampak keluar dari kenderaan melalui cermin yang pecah dan terus terhempas di atas JALAN RAYA!!! Ya atas JALAN RAYA!! Bukan atas TILAM EMPUK di dalam bilik tidur anda!! Itu belum diambil kira risiko DIGILIS pula oleh kenderaan yang melalui jalan tersebut! 😖😪

“PIHAK BERKUASA TAK KATA APA PUN? DAH BANYAK KALI DIORANG NAMPAK KAMI DALAM KERETA TAPI BUAT DERK JER? AWAK PULAK YANG ‘KEPOCHI’ (MENYIBUK) 😏🙄”

Kerajaan Malaysia setakat ini belum lagi mewartakan undang-undang bagi mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak ini. Di kebanyakan negara-negara maju, ia sudahpun diwajibkan oleh undang-undang! Jadi dalam hal menjaga keselamatan ini, tak perlu untuk kita disuruh oleh undang-undang baru kita nak lakukannya. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab kita semua.

Semua kanak-kanak patut diberi peluang untuk membesar dengan selamat kerana mereka adalah pelapis mungkin kepada kepimpinan negara kita di masa akan datang.. Siapa tau kan? Jika mereka cedera parah atau mati akibat KECUAIAN IBUBAPA sendiri (akibat tidak gunakan carseat), maka rugilah dan kasihanlah pada anak itu dan seluruh keluarga.

“HMM SELAMA NI DAH BERTAHUN-TAHUN ANAK TAK PAKAI CARSEAT OK JE..”

“Ok je” tu bermaksud Tuhan masih memberi anda peluang untuk sedar dan membetulkan kesilapan dan kealpaan anda. Percayalah, nasib kita tidak selalu baik! Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak adalah sebagai langkah perlindungan jika tiba waktunya untuk Tuhan kata “hari ni NASIB ENGKAU TIDAK BAIK!”

Kanak-kanak boleh tercedera sama ada ringan atau parah! Kecederaan parah pula mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu hilang keupayaan secara sementara atau kekal akibat cacat anggota badan ataupun lumpuh! Kecederaan yang parah juga bertanggungjawab terhadap banyak kematian kanak-kanak di serata dunia akibat perlanggaran atau kemalangan di jalan raya.

“YE LA.. YE LA.. KAT MANA NAK DAPAT KERUSI TU? MAHAL TAK? CAMANA CARA NAK PASANG?”

Carseat” sudah banyak dijual di pasaran Malaysia sebenarnya. Ia dijual di kedai-kedai barangan bayi atau secara atas talian (online).

Mahal tak? Bergantung kepada bajet anda. Ada yang berharga semurah RM200 sehinggalah ke tahap 5 Bintang yang berharga ribuan ringgit.

Kalau anda mampu tukar sport-rim kereta anda setiap beberapa bulan atau setahun sekali, kos untuk memiliki carseat yang mampu menyelamatkan nyawa anak anda adalah jauh lebih murah.

Alaaa… Mana yang merokok tu, cuba kira berapa anda belanjakan untuk membeli rokok sebulan.. Paham-paham sendiri laa kan.. 😜🤓

Di Malaysia, maklumat lanjut untuk mendapatkan khidmat nasihat professional tentang penggunaan carseat boleh didapati di pautan (link di bawah):

FB page: CPS Malaysia Facebook Page

FB group (untuk perbincangan):
* Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) – QR code as attached.

* Malaysian Carseat Support Group

Blog: CPS Malaysia Blog

Semalam (21/09/2017) saya bersama-sama dengan Pengarah JKJR Negeri Selangor dan beberapa konsultan keselamatan penumpang kanak-kanak iaitu Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) berbincang untuk mencari jalan dan kaedah terbaik bagi mendidik dan membudayakan masyarakat Malaysia tentang kepentingan menggunakan carseat ini.


Artikel lanjut tentang perbincangan tersebut boleh dibaca di pautan INI

19 orang mati setiap hari? Apa nak buat ni?


Kadar kematian dan kecederaan parah pengguna jalan raya di Malaysia semakin meningkat pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya.


Secara ringkasnya, penunggang motosikal merupakan golongan pengguna jalan raya yang tertinggi mati di jalan raya berbanding dengan pengguna jalan raya yang lain.


Secara amnya, seramai 7,152 orang telah terkorban pada tahun lepas (2016) yang mana ia bersamaan dengan (lebih kurang) 19 orang yang terbunuh di jalan raya setiap hari di seluruh Malaysia. Yang mengalami kecederaan parah pula adalah seramai 4,506 orang yang mungkin telah hilang upaya dan hilang pekerjaan akibat kecederaan parah tersebut.

BAGAIMANA KITA (MUNGKIN) BOLEH KURANGKAN KADAR KEMATIAN DAN KECEDERAAN PARAH INI?

Isu keselamatan jalan raya adalah isu global yang mana menjadi tanggungjawab kita semua setiap lapisan masyarakat dan juga pengguna jalan raya. Setiap manusia perlu bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain sebaik sahaja berada di jalan raya.

Saya sarankan beberapa perkara berikut untuk kita usahakan dan amalkan:


1. PENGAJAR MEMANDU

  • Penceramah KPP perlu tumpukan kepada matlamat nak menyampaikan ilmu pemanduan dan keselamatan jalan raya. Bukan setakat nak habiskan kelas dengan cepat sambil sembang kosong. Anda diibaratkan “pintu masuk utama” pelajar memandu ke institusi memandu di Malaysia. Penceramah KPP perlu ilmu yang lebih tinggi daripada Pengajar Memandu yang biasa.

  • Khatamkan Buku Teks KPP Motokar dan Motosikal. Saya percaya masih ramai yang belum khatam.. Lagi banyak kali khatam lagi baik..
  • Menimba lebih banyak ilmu tentang Pemanduan Selamat (Safe Driving) dan Pemanduan Berhemah (Defensive Driving) dan mengamalkannya dalam pemanduan harian. Sebagai Pengajar Memandu, anda perlu “kotakan apa yang dikatakan” kepada para pelajar memandu anda.
  • Ubah sikap daripada mengajar sambil lewa kepada mengajar sepenuh jiwa dan seikhlas hati demi memberikan ilmu pemanduan yang terbaik kepada pelajar memandu anda. Mereka memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan kita sebagai Pengajar Memandu bagi memastikan mereka dapat memandu di jalan raya dengan selamat.
  • Tanam sikap yang positif dan disiplin yang tinggi dalam diri dan yang paling penting adalah perlu mempunyai INTEGRITI yang tinggi dalam diri. Integriti bermaksud membuat sesuatu yang betul walaupun tiada sesiapa yang melihatnya. Senang cerita buat kerana Allah Ta’Ala bukan kerana sesiapa.
  • Ingat! Kita bukanlah setakat “Cikgu Sekolah Memandu” biasa-biasa je yang orang boleh pandang sebelah mata, kita adalah pendidik dalam latihan pemanduan! Tanpa kita ibarat tiadalah pemandu dan penunggang di jalan raya.. Jaga nama baik semua pengajar memandu di Malaysia ye.. Sentiasa jaga tingkah laku dan perangai kerana anda sentiasa diperhatikan oleh pelajar anda. Tunjukkan contoh yang baik untuk mereka ikuti.
  • Kepada para QTI (Qualified Testing Instructor), buatlah penilaian yang telus dan penuh Integriti. Tugas anda adalah untuk memastikan pelajar tersebut telah menerima latihan secukupnya dan layak untuk diuji oleh pegawai JPJ. Ingat! Anda bakal membenarkan pemandu baru yang tidak kompeten untuk berkongsi jalan raya dengan anda dan keluarga.. Saya pasti anda tidak mahu pemandu sedemikian berada di atas jalan raya kan?
  • Kerjaya Pengajar Memandu BUKAN UNTUK SEMUA ORANG! Jika anda hanya bekerja untuk mendapatkan pendapatan semata-mata, saya sarankan anda “bersara” dan cari kerjaya yang lain. Bidang pengajaran dan latihan pemanduan melibatkan nyawa manusia!



2. PELAJAR MEMANDU

  • Daftarkan diri anda di sekolah/institut memandu yang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anda! Ingat, setiap sen yang anda bayar perlu berbaloi!
  • Buangkan sikap dan pemikiran untuk mencari sekolah/institut memandu yang menawarkan harga lesen memandu yang PALING MURAH! Realitinya dan secara logik akalnya, “You will get what you pay!” Atau anda akan dapat apa yang anda bayar. Mereka yang menawarkan harga lesen terendah tidak akan mampu memberikan pengajaran dan latihan memandu yang terbaik kepada anda.. Trust me..
  • Setelah mendaftar, anda perlu menghadirkan diri ke Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu 01 (KPP01) yang mana ia adalah kelas “ceramah” tentang peraturan lalulintas, pemanduan berhemah dan undang-undang di jalan raya. TUMPUKAN SEPENUH PERHATIAN di dalam kelas kerana ia penting untuk melengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan tentang pemanduan selamat.
  • Bawa buku tulis dan pen untuk membuat nota tentang setiap topik yang anda pelajari. JANGAN BERMAIN HANDPHONE atau TIDUR atau BERBUAL KOSONG dengan rakan-rakan semasa sesi pembelajaran. Ingat! Inilah kali pertama dan (mungkin) kali terakhir anda akan hadiri kelas teori tentang pemanduan sepanjang hidup anda! Jangan bazirkan peluang ini..
  • Sikap “belajar untuk lulus ujian teori” juga perlu dibuang jauh-jauh! Ilmu pemanduan selamat adalah ilmu yang akan digunakan sepanjang hayat! Jangan terbunuh atau membunuh di jalan raya akibat cetek ilmu!

  • Dalam sesi latihan praktikal pula, anda dikehendaki (mengikut undang-undang) menghabiskan sekurang-kurangnya 16 jam sesi latihan memandu dan/atau menunggang. Walaupun anda sudah “pandai” memandu atau menunggang, anda perlu juga mematuhi syarat tersebut. NO SHORT CUT!



3. PEMANDU BARU

  • Tahniah!! Anda akhirnya berjaya lulus ujian praktikal memandu!! Tidak kiralah anda lulus kerana nasib atau sememangnya kerana anda cekap, tanggungjawab besar dan berat sebagai pemandu yang sah sudahpun bermula.
  • Kepada pemandu lesen P, sila tampal pelekat P di hadapan dan belakang (atas sebelah kiri) kereta anda atau depan dan belakang untuk motosikal. Kegagalan menampal pelekat P adalah satu kesalahan jalan raya yang membolehkan anda di saman dan membawa kepada pembatalan lesen memandu P anda!
  • Kini adalah masanya untuk anda amalkan segala ilmu dan kemahiran asas yang telah dipelajari di sekolah/institut memandu baru-baru ini.
  • Buku KPP tu balutlah dengan plastik supaya ia bertahan lama. Anda perlu simpan buku tu untuk rujukan akan datang. Buku teks KPP (dan juga buku-buku ilmiah yang lain) janganlah dibuang, berdosa tauuu!
  • Ya benar! Ilmu dan latihan pemanduan yang anda terima tempohari adalah secara asas sahaja. Lengkapkan diri anda dengan ilmu pemanduan yang lebih “advanced” dengan menyertai kelas-kelas latihan memandu yang dianjurkan oleh pihak-pihak swasta atau kerajaan (jika ada). Ilmu tambahan tersebut akan memastikan pemanduan anda menjadi lebih selamat.
  • Patuhilah segala peraturan dan undang-undang di jalan raya. Ia dibuat untuk memastikan keselamatan anda dan orang lain lebih terjamin. Jika anda mengingkari, bersedia dan redha lah jika tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap anda. Sendiri buat sendiri tanggung kan..
  • Sentiasa tunjukkan contoh yang baik kepada orang lain melalui pemanduan berhemah. Jangan terikut-ikut dengan pemandu lama yang mungkin ilmunya dah ke laut dalam agaknya.. Disiplin! Disiplin! Disiplin!



4. PEMANDU SEDIA ADA

  • Anda telah mempunyai pengalaman yang lebih berbanding dengan pemandu baru. Tapi itu tidak bermakna anda memandu dengan berhemah.
  • Anda juga disarankan untuk refresh atau segarkan kembali ingatan anda tentang pemanduan selamat. Ya saya akui agak sukar untuk dapatkan buku-buku pemanduan di pasaran Malaysia buat masa ini, tapi itu bukanlah alasan untuk kita tak nak belajar. Internet kan ada? Google je apa yang anda nak tau atau tengok YouTube!
  • Jalan raya adalah untuk semua pengguna jalan raya. Anda sebagai “senior” di jalan raya perlulah menjaga “junior” yang baru mengenali dunia pemanduan ni ye.. Jangan jadi pembuli di jalan raya.. Di dunia anda boleh buli orang lain, dalam kubur nanti (tak sempat tunggu Akhirat) anda akan “dibuli” sepuas hati pula oleh para Malaikat yang ada.. Tak percaya cubalah nanti update Facebook ye.. Ha ha..
  • Kepada PENUNGGANG MOTOSIKAL bawalah dengan senonoh dan berhemah sikit.. Sedar diri bak kata orang.. Anda tu bawak kenderaan yang 30-40 kali ganda terdedah kepada bahaya berbanding kenderaan 4 roda tau.. Jangan bawak motor macam bawak kereta kebal.. Kelak menyesal..
  • Kepada PEMANDU KERETA, berilah muka sikit pada penunggang motosikal.. Bahu jalan atau lorong kecemasan tu bukan lorong menunggang motor tau.. Mereka juga ada hak yang sama untuk gunakan jalan raya.. Sentiasa beri ruang yang selamat sekurang-kurangnya 3 kaki atau 1 meter apabila ingin memotong mereka. Ingat, mereka juga ada anak bini macam anda juga..
  • Kepada PEMANDU KENDERAAN BERAT (lori, bas dan seumpamanya), hati-hati bang.. Anda memandu kenderaan yang besar gedabak dan berat yang mana jika hilang kawalan, kemusnahan besar akan berlaku! Sebuah motorsikal dengan pembonceng jika berlanggar, mungkin 2 orang sahaja yang akan mati, tapi jika sebuah bas yang membawa 40 orang penumpang berlanggar atau jatuh gaung? Tolong kirakan.. Matematik saya kurang mahir sikit…
  • Sebagai “Abang Long” di jalan raya, saya mohon anda jagalah keselamatan kenderaan lain yang lebih kecil daripada anda.. Tolong ye.. Mintak tolong sangat ni..

      4. PIHAK BERKUASA

      • Pihak berkuasa (Polis, JPJ, SPAD) memainkan peranan penting bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi setiap peraturan dan undang-undang di jalan raya.
      • Selain dari tugas mereka menguatkuasakan peraturan dan undang-undang di jalan raya, saya berpendapat mereka juga perlu memainkan peranan sebagai pendidik keselamatan jalan raya. Mungkin, saya ulang mungkin, untuk pesalah lalulintas yang pertama kali lakukan sesuatu kesalahan, mereka diberi nasihat tentang akibat dari perbuatan tersebut. Selepas diberi “ceramah” ringkas, butiran pesalah perlulah juga direkodkan untuk rujukan akan datang. Satu “Notis Amaran” boleh dikeluarkan kepada pesalah tadi. Jika pesalah tersebut melakukan kesalahan yang sama di lain waktu, pesalah tersebut perlu diberikan saman dan kompaun maksimum RM300 tanpa budi bicara lagi. Alasannya pesalah telah diberi amaran pada masa lalu tetapi degil dan lakukan kesalahan yang sama. Fair and square kan..
      • Dipendekkan cerita, pihak berkuasa juga perlu menjadi role model kepada masyarakat dengan mempamerkan dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dengan pemanduan yang terbaik dan terpuji dan terhemah.. Jangan lupa, anggota keselamatan juga belum tentu akan “terselamat” dari kecederaan parah atau kematian jika berlaku perlanggaran di jalan raya.. Ingat keluarga tersayang.. Mereka sedang menanti anda untuk minum petang atau makan malam bersama di rumah.. Pakailah tali pinggang keledar depan dan belakang..


        5. CIKGU SEKOLAH

        • Anda semua sudah sedia maklum tentang PKJR (Pendidikan Keselamatan Jalan Raya) kan? Saya dapat tau yang subjek PKJR tidak dititikberatkan sangat sebab katanya tak cukup cikgu untuk ajar subjek tu.. Cikgu perlu tau, subjek itu akan menentukan juga anak murid cikgu tu sempat jadi dewasa dan berjaya atau tidak.. Berapa ramai pelajar sekolah yang tak sempat nak dewasa akibat kemalangan jalan raya.. Jadi harap pihak sekolah kena ambil berat tentang PKJR juga.. Ia ilmu penyelamat nyawa zaman sekarang ni.. Bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”..
        • Jadi saya juga mohon anda sebagai guru di sekolah, amalkan pemanduan yang selamat. Tunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak murid anda dengan memakai tali pinggang keledar dan topi keledar (yang menunggang motor). Selalu juga saya dengar “Alaa cikgu pun tak pakai helmet dan tali pinggang keledar..” Alamak malu lah.. Be a good example and role model okay..
        • Selalu periksa dan nasihat jika ada pelajar sekolah yang menunggang motosikal tanpa lesen dan/atau tanpa topi keledar. Jangan dibiarkan aje.. Tanggungjawab guru untuk tegur kesalahan mereka apabila berada di sekolah.


        6. IBUBAPA DAN PENJAGA

        • Ke mana tidak tumpahnya kuah jika bukan ke nasinya.. Ibubapa perlu beri contoh yang baik.. Ceritanya sama macam cikgu sekolah, bila ibubapa tidak pentingkan soal keselamatan, maka terjadilah “Bapa borek anak rintik”.. Jangan juga jadi “ketam mengajar anaknya berjalan”..
        • Tolong jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal atau memandu kereta tanpa lesen memandu. Itu satu kesalahan berat di sisi undang-undang.. Anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika sesuatu berlaku kepada mereka..
        • Jangan lupa juga, anak-anak adalah anugerah Allah yang dikurniakan kepada kita.. Bersyukurlah dan jagalah keselamatan mereka. Kita ingin lihat mereka berjaya di dunia dan di Akhirat InsyaAllah..
        • Perhatikan juga pergaulan anak-anak dengan rakan-rakan. Anak kita mungkin baik di rumah tapi di luar tiada siapa yang tau.. Kena pantau sikit.. Jangan biarkan mereka terlibat dengan lumba haram dan sebagainya.. Ibubapa juga yang pening nanti..

            Itu sahaja coretan yang terlintas di fikiran selepas bersahur tadi.. Ingat, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama..

            “Cikgu Marwan signing off 73 Clear”

            DEFENSIVE RIDER TRAINING 2016 (TERENGGANU)


            ~ New to motorcycling, or experienced rider? This Defensive Rider Training will teach you how to be a safe rider while enjoying every ride you make. Enroll now and at the end of the course, you will have better understanding and perhaps better skills to improve your riding and become a safer rider.

            NOW OPEN FOR REGISTRATION!

            COURSE DETAILS:

            DATES:

            One single day course, running on these two days (choose one only).

            • 22 OCTOBER 2016 (SATURDAY)
            • 23 OCTOBER 2016 (SUNDAY)

            TIME: 
            8:00 AM UNTIL 5:00 PM


            LOCATION:

            ARINAH HOLDINGS (DRIVING INSTITUTE)

            PULAU KERENGGA, MARANG, TERENGGANU, MALAYSIA

            FEES:

            RM250 INCLUSIVE OF

            * Morning Tea Break

            * Lunch

            * Light Refreshments

            * Exclusive T-Shirt

            * Certificate of Participation

            SPECIAL APPEARENCE!!

            Meet and learn how to ride safely with Peter Hodgson, all the way from Ideal Driver and Rider Training, Hull UK. He is now on a tour to educate Malaysian riders to achieve higher standards in motorcycle safety.

            TO REGISTER:

            TYPE “DRT16KT [NAME]” and send to

            SMS/WHATSAPP +6019-297 1794 (MARWAN)

            WE WILL REPLY BACK TO YOU WITH FURTHER INFORMATIONS.

            “HURRY! LIMITED SEATS ONLY! FIRST COME FIRST SERVE BASIS!”

            Tanggungjawab Pemandu Terhadap Keselamatan Pejalan Kaki


            Baru-baru ini berlaku kejadian di mana tiga orang pelajar sekolah rendah cedera dilanggar oleh sebuah kereta semasa mereka dikatakan berlari secara tiba-tiba untuk melintas jalan yang sesak di kawasan sekolah. Saya tidak berada di tempat kejadian jadi saya tidak akan mengulas tentang siapa salah atau siapa betul tentang kemalangan tersebut.

            Mengikut pemerhatian rambang yang sering saya lakukan setiap hari, sememangnya ada di kalangan pemandu-pemandu dan penunggang-penunggang motosikal yang tidak berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka apabila menghampiri kawasan sekolah. Anak saya sendiri pun nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu agak laju di depan sekolahnya sedikit masa lalu.

            Kita perlu sedar, pejalan kaki juga adalah dikategorikan sebagai ‘Pengguna Jalan Raya’ dan berhak untuk menggunakan jalan raya dengan selamat. Pejalan kaki juga dikategorikan sebagai pengguna jalan raya yang lebih terdedah kepada bahaya untuk mendapat kecederaan parah atau kematian jika para pemandu serta penunggang motosikal tidak berjaga-jaga dan berwaspada dengan kehadiran mereka. Oleh sebab itulah, topik ‘Tanggungjawab Pemandu Terhadap Keselamatan Pejalan Kaki’ diajar secara formal dalam Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu di Malaysia ini. Akan tetapi masih ramai yang gagal memahami kepentingan untuk memandu dengan lebih berhemah apabila berhadapan dengan pengguna jalan raya yang lebih terdedah kepada bahaya ini.
            Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua apakah tanggungjawab kita terhadap keselamatan para pejalan kaki supaya mereka lebih selamat. Pemanduan secara berhemah (Defensive Driving) mampu mengelakkan perlanggaran. Secara ringkasnya, Pemanduan Berhemah bermaksud ‘Satu cara pemanduan yang dapat mengelakkan dan menyelamatkan diri daripada berlaku perlanggaran, walaupun disebabkan oleh kesilapan pengguna jalan raya yang lain.

            Juga saya akan sentuh sedikit tentang tanggungjawab pejalan kaki itu sendiri apabila berada di jalan raya. Baca, fahami dan amalkan panduan-panduan yang diberikan supaya kita semua selamat di jalan raya. Amalkan teknik pemanduan berhemah yang dikenali sebagai C.O.A.S.T iaitu singkatan untuk Concentration (Penumpuan), Observation (Pemerhatian), Anticipation (Menjangka), Space (Ruang) dan Time (Masa) sepanjang masa anda memandu ataupun menunggang. Terima kasih kepada guru saya seorang Pengajar Memandu dan Konsultan Keselamatan Jalan Raya dari United Kingdom, Encik Peter Hodgson kerana mengajar saya tentang penggunaan teknik COAST ini.

            Dalam artikel kali ini, saya akan mengaplikasikan penggunaan COAST dalam situasi menghadapi pejalan kaki di jalan raya.

            TANGGUNGJAWAB SEORANG PEMANDU/PENUNGGANG TERHADAP PEJALAN KAKI

            Semasa memandu (terpakai untuk semua jenis kenderaan), sentiasa beri PENUMPUAN (Concentration) sepenuhnya terhadap pemanduan. Ia bermaksud elakkan membuat sesuatu yang boleh mengalihkan tumpuan semasa mengendalikan kenderaan anda. Tumpukan 100% perhatian pada pemanduan, bukan 80% atau sebagainya. Perbuatan seperti menggunakan telefon mudah alih semasa memandu sememangnya sangat merbahaya dan salah di sisi undang-undang. Sebelum memandu, pastikan telefon berada dalam mode ‘Senyap’ atau matikan telefon anda. Simpan di tempat yang sukar dilihat seperti di dalam ruang simpanan yang dikenali sebagai ‘glove box compartment’ atau di mana sahaja yang sukar untuk anda ambil semasa memandu. Lupakan sebentar tentang telefon anda itu. Perkara-perkara lain yang juga boleh mengalihkan penumpuan anda adalah seperti mendengar musik terlalu kuat (boleh menutup bunyi keadaan sekeliling di luar kenderaan anda), bergurau-gurau dengan penumpang secara berlebihan atau merokok semasa memandu. Ingat, hanya mengalih tumpuan anda pada pemanduan walaupun hanya 2-3 saat boleh menyebabkan perlanggaran yang serius. Jadi sekali lagi TUMPUKAN PERHATIAN! Dengan itu kita akan sedar dan nampak apa yang berlaku di depan, belakang dan sekitar kita. Jangan lupa untuk sentiasa memerhatikan cermin-cermin dalam kenderaan anda sekurang-kurangnya setiap 10 saat untuk mengetahui apa yang berlaku di sebelah sisi dan belakang kenderaan anda.

            Semasa memberi tumpuan, anda juga sebagai pemandu perlu membuat PEMERHATIAN (Observation) terhadap keadaan di sekeliling anda terutama sekali di bahagian hadapan semasa kenderaan bergerak. Selain dari perhatikan pergerakan kenderaan lain, anda juga perlu perhatikan si pejalan kaki jika ada. Perhatikan gerak geri atau isyarat badan (body language) pejalan kaki untuk sebarang tanda awal sebarang tindakan yang akan diambil oleh mereka seperti melintas jalan secara tiba-tiba dan sebagainya. Anda perlu lebih berjaga-jaga jika ternampak kanak-kanak berada di tepi jalan walaupun mereka sedang dipimpin oleh orang dewasa. Kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan untuk menilai jarak dan kelajuan kenderaan yang menghampiri mereka sepertimana orang yang lebih dewasa mampu lakukan.

            Perkara ketiga adalah MENJANGKA (Anticipation) terhadap segala pergerakan yang anda lihat dilakukan oleh semua pengguna jalan raya semasa anda memandu. Dalam kes pejalan kaki, mungkin anda telah perhatikan seorang pejalan kaki yang menoleh kepala ke kanan dan kiri jalan sambil berada dalam keadaan seperti bersedia untuk melintas jalan semasa anda menghampirinya atau semasa anda memandu di tengah-tengah kesibukan bandar. Sentiasa menjangka kemungkinan ada pejalan kaki yang muncul secara tiba-tiba dari celah-celah kenderaan atau di hadapan sebuah bas yang sedang berhenti di tepi jalan tanpa menyedari kehadiran anda. Banyak perlanggaran atau ‘kemalangan’ dapat dielakkan jika kita sentiasa menjangka sesuatu yang mungkin berlaku. Dalam keselamatan jalan raya, untuk selamat kita seharusnya sentiasa menjangka sesuatu PERKARA BURUK yang mungkin akan membahayakan kita dan pengguna jalan raya yang lain. Semasa memandu, tidak salah untuk kita sentiasa ‘bersangka buruk’ terhadap pergerakan pengguna jalan raya yang lain. Bersangka buruk mampu menyelamatkan nyawa. Sentiasa fikirkan apakah perkara terburuk yang boleh berlaku kepada kita sebagai pemandu disebabkan oleh kecuaian pengguna jalan raya yang lain. Dengan cara itu kita akan lebih berwaspada dan berjaga-jaga. Sentiasa bersedia untuk memperlahankan kenderaan atau berhenti jika diperlukan.

            Perkara seterusnya adalah RUANG (Space) yang merujuk kepada perlunya kita sebagai pemandu memberikan ruang yang cukup kepada semua pengguna jalan raya. Seperti contoh, apabila menghampiri deretan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, sentiasa jarakkan kenderaan anda sekurang-kurangnya 1 meter atau bersamaan dengan 3 kaki dengan deretan kenderaan tersebut, kerana ada kemungkinan jika seorang pejalan kaki secara tiba-tiba muncul di celah-celah kenderaan tersebut, anda mempunyai ruang yang cukup luas untuk mengelak dari terlanggarnya. Mungkin juga semasa anda menghampiri, secara tiba-tiba pintu kereta di sebelah kanan dibuka tanpa menyedari kehadiran anda. Lagi laju kenderaan bergerak, lagi banyak ruang yang diperlukan untuk memberhentikan kenderaan. Jadi sentiasa patuhi had laju yang ditetapkan terutama sekali jika menghampiri lintasan pejalan kaki iaitu 30 km/j (kelajuan maksimum). Perlahankan kenderaan anda seperlahan yang mungkin terutama sekali apabila menghampiri kawasan sekolah yang sibuk dan bersedia untuk berhenti dalam ruang atau jarak yang selamat. Apabila berhenti semasa pejalan kaki melintas, sentiasa bebaskan gear anda (atau N untuk transmisi automatik) dan tarik brek tangan bagi mengelakkan sebarang pergerakan kenderaan yang tidak diingini. Ingat, semakin banyak RUANG yang anda berikan, semakin selamat anda dan pengguna jalan raya yang lain. Tidak ketinggalan, ruang juga merujuk kepada jarak mengekori yang selamat ketika memandu menggunakan Peraturan 2 dan 4 Saat.

            Akhir sekali, sebagai seorang pemandu, sentiasa berikan MASA (Time) yang mencukupi untuk mengambil sebarang tindakan. Masa seringkali dikaitan dengan KELAJUAN. Semakin perlahan anda memandu, semakin banyak masa yang anda anda untuk bertindak bagi mengelakkan sebarang perlanggaran. Sama juga seperti ruang, lagi laju anda memandu, lagi banyak masa yang anda perlukan untuk memberhentikan kenderaan anda. Istilah ‘Kelajuan Itu Membunuh’ sememangnya tepat bagi menggambarkan bahaya kelajuan kerana kita perlukan masa yang mencukupi untuk bertindak. Satu lagi perkara yang boleh dikaitkan dengan masa adalah rancang masa perjalanan anda untuk mengelakkan pemanduan secara terburu-buru atau tergesa-gesa. Itu juga boleh mengakibatkan ‘kemalangan’ jalan raya.

            PANDUAN RINGKAS KEPADA PEJALAN KAKI

            Sentiasa gunakan lintasan pejalan kaki jika ada. Patuhi lampu isyarat untuk pejalan kaki jika ada kerana walaupun sebagai pejalan kaki, anda juga boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika gagal mematuhi peraturan jalan raya. Jika tiada lampu isyarat di lintasan pejalan kaki, pastikan anda hanya melintas apabila anda pasti anda mempunyai jarak yang selamat sebelum berbuat demikian. Jangan lupa untuk menjangka kelajuan kenderaan yang menghampiri kerana kecuaian menjangka kelajuan juga boleh menyebabkan anda dilanggar! Lihat kanan, kiri dan kanan (kecuali jalan sehala ke kanan, yang mana kenderaan datang dari sebelah kiri anda) sebelum melintas, dan lihat lagi keadaan sekeliling walaupun anda sedang melintas jalan. Sentiasa pastikan anda dapat dilihat dengan mudah oleh pengguna jalan raya yang lain dengan berpakaian yang lebih cerah (siang hari) atau memakai baju yang mempunyai pemantul cahaya pada waktu malam.

            Jika anda ingin melintas di tempat selain dari lintasan pejalan kaki, pastikan anda dapat melihat dengan jelas lalulintas yang datang dari sebelah kanan dan kiri jalan. Jangan sesekali melintas berhampiran selekoh atau persimpangan yang terlindung. Anda juga adalah dilarang (dari segi undang-undang) untuk melintas di lebuhraya kecuali di waktu kecemasan sahaja. Semasa melintas jalan yang sibuk, jangan sesekali berhenti di tengah jalan untuk melintas separuh jalan lagi kerana anda mungkin berisiko tinggi untuk dilanggar oleh kenderaan! Lintas secara terus dari hujung ke hujung jalan. Anda juga perlu berhati-hati semasa melintas di kawasan bandar yang sesak kerana terdapat kemungkinan penunggang motosikal yang mencelah-celah di antara kenderaan.

            Banyak lagi sebenarnya panduan serta peraturan-peraturan yang anda perlu tahu sebagai seorang pemandu mahupun sebagai seorang pejalan kaki. InsyaAllah di kesempatan yang lain saya akan berkongsi lagi tips-tips keselamatan di jalan raya supaya kita semua selamat tiba di destinasi yang ditujui.

            Sentiasa ingat, keselamatan jalan raya tanggungjawab kita bersama.

            Kemalangan Jalan Raya Satu Tragedi Kemanusiaan

            Saya terbaca satu berita dalam akhbar Sinar Harian semalam (Selasa 12hb Julai 2016) berkenaan seorang remaja pelajar tingkatan lima yang memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai bil rawatan akibat kemalangan jalan raya pada hari Rabu lalu (6hb Julai 2016).


            Remaja tersebut Tang Miu Peng, berumur 17 tahun dari Taman Desa Rishah di Ipoh kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai, Ipoh. Kemalangan berlaku di antara motosikal yang ditunggang pelajar tersebut berlanggar dengan sebuah lagi motosikal. Tidak diceritakan pula keadaan penunggang motosikal yang lagi satu. Akibat kemalangan tersebut, Miu Peng mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang di bahagian muka, patah tangan kanan dan pendarahan di bahagian limpa dan hati. Tiada maklumat juga diberikan samada mangsa memakai topi keledar atau tidak semasa kejadian. Saya juga tidak pasti berkenaan mangsa mempunyai lesen memandu atau tidak.

            Mangsa yang sedang dirawat di hospital swasta tersebut memerlukan bantuan kewangan sebanyak lebih kurang RM200,000 untuk membayar bil rawatan seperti yang dimaklumkan oleh pihak hospital. Keluarga beliau terpaksa memohon bantuan orang ramai. Cerita lanjut tentang mangsa boleh dibaca di pautan di akhir artikel ini.

            Wahai rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, lihatlah bagaimana kemalangan jalan raya telah merubah bukan sahaja kehidupan si mangsa, malah keseluruhan keluarganya dalam sekelip mata! Mangsa seorang pelajar sekolah menengah yang mampu berdikari sendiri dalam aktiviti harian, dan kemungkinan besar juga menjadi harapan keluarganya untuk berjaya dalam kehidupannya. Langit yang disangka cerah, rupanya hujan di tengahari. Tiada siapa pun pernah menyangka dan terlintas dalam fikiran bahawa kejadian ini akan menimpa mereka. Kalaulah mangsa atau keluarga mangsa dikurniakan ‘Deria Ke-Enam’ ataupun ‘Sixth Sense’ oleh Tuhan, kemungkinan besar mangsa tidak akan keluar rumah pada hari tersebut dan ‘terselamat’.

            Realitinya, ia tak akan berlaku begitu. Kemalangan jalan raya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Tiada sesiapa pun akan terkecuali dari malapetaka ini.

            “Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2015 mencatatkan jumlah yang amat tinggi, iaitu sebanyak 489,606 kes.

            “Jumlah kematian pula mencatatkan sebanyak 6,193. Jika didarab dengan lima tahun, jumlahnya boleh memenuhi Stadium Negara,” ujar YAB. Perdana Menteri Malaysia semasa perasmian Sambutan Hari Polis ke-209 di Pulapol pada 25 Mac 2016 kepada Astro Awani.

            Kenapakah saya mengatakan kemalangan jalan raya ini satu tragedi kemanusiaan? Ia adalah kerana telah terlalu ramai manusia di seluruh dunia mengalami kecederaan parah yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal ataupun kematian. Kemalangan jalan raya semestinya akan menyebabkan kerugian harta benda peribadi dan harta benda awam. Ia juga semestinya menyebabkan kerugian organisasi di mana mangsa tersebut melibatkan diri. Dan sudah terbukti sudah banyak keluarga yang sengsara akibat ketua keluarga yang tidak lagi dapat menyara keluarga masing-masing akibat tragedi ini.

            Masalah utama dengan masyarakat di Malaysia ini adalah masalah kurangnya kesedaran tentang keselamatan jalan raya. Walaupun setiap hari masyarakat disajikan dengan berita kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan parah atau kematian, kadar kemalangan masih tidak berkurangan, dan adakalanya meningkat. Ia boleh dijadikan penanda aras kesedaran masyarakat tentang keselamatan jalan raya. Mungkin disebabkan berita kemalangan jalan raya sudah menjadi sebati dalam diri masyarakat, maka tragedi itu dianggap seperti perkara biasa, sehinggalah ia berlaku kepada diri sendiri atau keluarga dan kenalan rapat.

            Selagi pihak-pihak berwajib gagal berbuat sesuatu untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan sebagai pengguna jalan raya, selagi itulah usaha untuk memberi pendidikan tidak akan berjaya dengan sepenuhnya. Alasannya sangat mudah, jika masyarakat tidak benar-benar faham kenapa pentingnya untuk selamat, maka apa sahaja yang diberitahu, diajar, ditulis, dididik tidak akan mendatangkan kesan ke dalam diri si penerima, walau banyak mana pun maklumat yang diberikan oleh si pemberi. Ibarat menuangkan air di atas daun keladi, ia tidak akan melekat di dalam minda dan jiwa mereka.

            Pada pendapat saya, perkara ini sangat penting dan perlu dimulakan secara agresif sekarang. Malaysia dikatakan menuju ke arah ‘Negara Maju’ pada tahun 2020 (kurang dari 4 tahun lagi) tetapi kita masih lihat sikap dan pemikiran rakyat Malaysia masih agak mundur ke belakang. Usaha-usaha yang lebih agresif dan berkesan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam keselamatan jalan raya harus dimulakan sekarang tanpa berlengah lagi. Jikalau masyarakat boleh disajikan dengan berita tentang kemalangan jalan raya setiap hari di semua media cetak dan tv serta radio, kenapa tidak dibuat juga ruangan untuk pendidikan keselamatan jalan raya? Pihak berkuasa mempunyai ruang dan peluang yang luas dalam media di Malaysia jika benar-benar serius ingin menggunakannya untuk tujuan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang keselamatan jalan raya.

            Isu keselamatan jalan raya adalah isu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak dan lapisan masyarakat. Semua pihak perlu memikul tanggungjawab, bukan hanya pihak kerajaan sahaja yang perlu mainkan peranan. Banyak juga pihak swasta yang ingin bersama untuk menyumbang kepada negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak terlibat perlu duduk semeja untuk sesi ‘Brainstorming’ mencari idea dan jalan terbaik secara bersama.

            Selagi pihak-pihak terlibat tidak berbuat sesuatu, maka keadaan tidak akan berubah. Selagi masyarakat tiada kesedaran, usaha untuk memberi pendidikan keselamatan jalan raya tidak akan berjaya sepenuhnya. Kesedaran dalam jiwa masyarakat perlu ada supaya dapat menerima pendidikan yang diberikan nanti. Jangan ambil ringan soal ini kerana sudah terbukti ia sudah meragut dan memusnahkan kebahagiaan ramai manusia di Malaysia dan di seluruh dunia. Ia adalah tragedi kemanusiaan sejagat.

            Pautan (link) berita di atas boleh dibaca di SINI

            Lebih besar kenderaan, lebih besar kemusnahan

            “KOTA BHARU: Kemalangan yang mengorbankan tujuh sekeluarga berpunca daripada sebuah lori tiga tan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta.” Begitulah antara berita malang yang kita terima semalam.


            Kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan seperti lori dan bas pada kebiasaannya akan menyebabkan kesan kemusnahan yang lebih besar! Sering kali kelihatan para pemandu bas dan lori memandu melebihi had laju dan agak melulu seolah-olah sedang mengendalikan kenderaan yang lebih kecil seperti van dan kereta. Mungkin mereka berasakan yang mereka lebih “berkuasa” dan “kebal” berbanding pengguna jalan raya yang lain yang lebih kecil dan terdedah kepada bahaya..

            Semalam saya meluangkan sedikit masa untuk bersembang dengan Ketua Pengajar Memandu di Institut Memandu tempat saya bertugas, di mana beliau sendiri mempunyai pengalaman sebagai seorang pemandu bas ekspress untuk beberapa syarikat pengangkutan. Beliau berkongsi beberapa maklumat yang bagi saya perlu mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa. Antara perkara yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan bagi kenderaan perdagangan ini adalah selain daripada masalah kerosakan komponen kenderaan (kos yang semakin meningkat tidak sepadan dengan harga tiket tambang, mungkin menyebabkan pengusaha “berjimat cermat” dalam hal penyelenggaraan kenderaan mereka), masalah para pemandu yang “terpaksa” bekerja lebih masa dan di luar kemampuan mereka sebagai seorang manusia mungkin antara penyebab utama kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan berlaku. Ada lagi perkara yang saya rasa kurang sesuai untuk dikongsikan di sini kecuali dengan pihak berkuasa, maka kita rumuskan kegagalan manusia mengendalikan kenderaan dengan selamat boleh dikatakan antara punca utama dalam kejadian sedemikian.

            Mengikut pemerhatian rambang yang saya lakukan, kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan tidaklah sebanyak dan sekerap kenderaan persendirian yang lain seperti kereta dan motosikal. Namun seperti yang saya katakan, jika berlaku kemalangan, skala kemusnahan dan kematian biasanya akan lebih besar dan ramai. Kita juga sering mendengar yang ada sebilangan pemandu kenderaan perdagangan terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan pil kuda, kononnya sebagai “ubat kuat” untuk memberikan mereka tenaga dan “daya tahan” untuk menjalankan tugasan yang diberikan, yang mungkin telah melangkaui tahap yang sepatutnya badan manusia menanggung.

            Seperti pengguna jalan raya yang lain juga, para pemandu kenderaan perdagangan perlu diberi kursus khas tentang pemanduan berhemah supaya dapat didedahkan secara intensif ilmu-ilmu tentang pemanduan berhemah yang perlu mereka tahu, faham dan amalkan. Tanpa ilmu yang sepatutnya, mereka mungkin tidak sedar tentang tanggungjawab yang sangat berat yang mereka perlu pikul sebagai pemandu kenderaan yang lebih besar dan berat tersebut. Mereka perlu sedar, jika berlaku kecuaian dari pihaknya, kemalangan dalam skala yang lebih besar mungkin boleh berlaku. Kenderaan besar dan berat memerlukan jarak yang lebih jauh dan masa yang lebih lama untuk berhenti jika berlaku sesuatu. Oleh sebab itu, para pemandu kenderaan sedemikian perlu bertanggungjawab dan berdisiplin dalam mematuhi had laju yang telah ditetapkan kepada kenderaan mereka. Had laju yang ditetapkan juga sebenarnya adalah had laju yang MAKSIMUM dan seringkali tidak selamat dan sesuai untuk digunakan di semua tempat dan masa. Para pemandu perlu bijak dalam menilai sendiri keadaan sekitar dan jalan raya sebelum membuat keputusan untuk menentukan kelajuan yang sesuai. Buat masa ini, majoriti pemandu kenderaan perdagangan hanyalah “lepasan” Institut/Sekolah Memandu di mana mereka diberi latihan asas untuk tujuan mendapatkan lesen memandu selepas lulus ujian pemanduan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

            Bagi pendapat saya, latihan asas tersebut tidak cukup untuk memastikan seseorang pemandu menjadi pemandu yang kompeten dan berhemah. Mereka perlu dilatih secara lebih intensive sebaik sahaja mendapat lesen memandu kenderaan perdagangan mereka oleh pihak-pihak yang profesional dalam pemanduan kenderaan berat. Selepas lulus dan berjaya menamatkan kursus intensif tersebut, maka barulah para pemandu perdagangan ini dibenarkan berkhidmat dengan majikan masing-masing. Para majikan juga perlulah lebih bertanggungjawab dalam memastikan mereka telah mendapat pemandu yang benar-benar kompeten bukan sahaja dari segi kemahiran, tetapi pengetahuan dan juga sikap yang baik. Janganlah diutamakan keuntungan semata-mata. Nyawa manusia tidak ternilai harganya dibandingkan dengan perniagaan yang dijalankan.

            “Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Kita Bersama”

            Pautan berita kemalangan semalam di sini 7 maut lori langgar 3 kereta

            Apa itu “Hazard” dan kenapa ia merbahaya kepada semua pengguna jalan raya.


            HAZARD seperti dalam laman web Wikipedia.com menyatakan “Hazard adalah satu situasi di mana ia memberikan satu tahap ancaman nyawa, kesihatan, harta benda atau persekitaran. Hazard-hazard ini juga mendatangkan bahaya kepada manusia dan juga kehidupan haiwan. Kebanyakan hazard adalah tidak bergerak (dormant) atau mempunyai potensi (untuk menjadi satu bahaya), yang secara teorinya boleh menjadi risiko yang mendatangkan bahaya. Walaubagaimanapun, apabila hazard menjadi “aktif”, ia boleh menyebabkan situasi kecemasan.”

            Pengertian hazard seperti yang dinyatakan dalam Buku Teks Kurikulum Pendidikan Pemandu Malaysia adalah lebih ringkas dan mudah difahami oleh kebanyakan orang. Hazard merujuk kepada “Elemen-elemen yang boleh mendatangkan bahaya yang sedia ada di persekitaran atau berlaku dengan tiba-tiba”. Ia boleh dibahagikan kepada 3 jenis atau kategori iaitu Hazard Fizikal, Hazard Pergerakan dan juga Hazard Permukaan Jalan. Mari kita lihat secara lebih mendalam apakah maksud ketiga-tiga hazard tersebut dan kenapa ia boleh membahayakan kita sebagai pengguna jalan raya.

            1. HAZARD FIZIKAL

            Ia merujuk kepada hazard (bahaya) yang tidak bergerak yang ada di sekitar kita. Walaupun ia tidak bergerak, tetapi hazard fizikal masih boleh mendatangkan ancaman bahaya kepada kita dan orang lain. Contoh hazard fizikal adalah seperti berikut:

            • Persimpangan – Persimpangan jalan boleh dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk mendapat kemalangan disebabkan arah pergerakan yang melintang. Ia boleh juga termasuk lintasan pejalan kaki, lintasan keretapi dan di mana-mana sahaja yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya yang lain boleh bergerak secara melintang di atas jalan raya. Peraturan Di Persimpangan (salah satu dalam Peraturan Pemanduan Berhemah) perlulah sentiasa dipatuhi untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Persimpangan mempunyai pelbagai rupa dan jenis dan anda perlu menyesuaikan cara pemanduan mengikut keadaan atau rupa bentuk persimpangan tersebut.
            • Persimpangan Bulatan (roundabout) – Kawasan ini juga adalah berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jikalau tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di kawasan persimpangan bulatan. Bulatan juga mempunyai pelbagai saiz yang mana lagi besar bulatan tersebut, lagi banyak lorong yang disediakan. Adalah sangat penting untuk berada di lorong yang betul/sesuai dan juga memberi lampu isyarat yang tepat.
            • Kenderaan rosak di tepi atau di tengah jalan raya juga sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya. Walaupun kenderaan itu tidak bergerak, kemungkinan untuk kita atau pengguna jalan raya yang lain untuk terlanggarnya adalah sangat tinggi dan kesannya adalah sangat buruk. Penumpuan sepenuhnya semasa di jalan raya adalah sangat penting untuk memastikan kita dapat mengawal laluan kenderaan kita dan tidak melanggarnya secara tidak sengaja. Sudah banyak kemalangan maut atau yang menyebabkan kecederaan parah berlaku akibat terlanggar kenderaan yang berhenti atau rosak sama ada di tepi jalan (bahu jalan atau lorong kecemasan) dan juga di tengah jalan.
            • Kenderaan yang diparkir (diletakkan) di tepi jalan juga merbahaya jika kita tidak menjangka apa yang mungkin berlaku. Sebagai contoh pintu kereta dibuka secara tiba-tiba semasa anda melalui tepi kenderaan tersebut atau anda bergeselnya secara tidak sengaja akibat terlalu hampir. Oleh yang demikian, sentiasa perlahankan kenderaan anda dan berikan ruang yang cukup sekurang-kurangnya sejauh 1 meter atau 3 kaki untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Jika anda tidak dapat memberikan ruang sejauh itu disebabkan faktor-faktor lain, perlahankan lagi kenderaan anda supaya anda mampu berhenti pada bila-bila masa jika diperlukan. Ingat, lagi hampir kita dengan kenderaan atau pengguna jalan raya yang lain, lagi perlahan kita perlu bergerak.
            • Pembahagi Jalan (bukan tanda garisan atas jalan). Ia merujuk kepada pembahagi jalan secara fizikal iaitu batu pembahagi jalan (road divider atau kerb), besi penghadang (guard rail) atau apa sahaja alat untuk membahagi laluan atau untuk melindungi kenderaan daripada terbabas ke tepi atau ke tengah jalan dan masuk ke laluan bertentangan. Walaupun ia tidak bergerak atau melintasi kita (yang sememangnya mustahil), ia masih mendatangkan bahaya jika kita tidak dapat mengawal stereng atau hendal motor dengan betul iaitu tidak mengikut laluan atau lorong yang sepatutnya. Pernahkah anda lihat kenderaan yang terbabas dan melanggar benda-benda yang disebutkan tadi?
            • Pokok, Tiang Lampu/Telefon, Tiang Papan Tanda dan sebagainya. Banyak juga kemalangan yang pernah kita lihat berlaku akibat terlanggar hazard yang tidak bergerak ini. Jika sebuah kereta terlanggar tiang telefon atau elektrik, kemungkinan besar tiang tersebut akan patah, dan dalam kebanyakan kes mangsa terselamat walaupun mungkin mengalami kecederaan. Berbanding dengan tiang tadi, jika terlanggar pokok (bersaiz sederhana atau/dan besar) di tepi jalan, akibatnya sangatlah buruk kerana struktur pokok yang lebih kuat disebabkan akarnya yang menjalar jauh ke dalam permukaan tanah. Dalam kebanyakan kes kemalangan yang melibatkan pokok lebih-lebih lagi jika berkelajuan agak tinggi, peluang untuk mangsa terselamat adalah sangat tipis. Oleh itu sentiasa kawal kenderaan anda supaya berada di laluan yang betul.

            2. HAZARD PERGERAKAN

            Di jalan raya terdapat banyak hazard yang boleh bergerak. Ia termasuklah pengguna jalan raya yang lain seperti yang tertera di bawah:

            • Kenderaan lain seperti kereta, van, bas, lori dan apa sahaja kenderaan yang bersaiz besar. Jika kita terlanggar kenderaan bersaiz ini, tahap kerosakan dan kecederaan adalah lebih tinggi.
            • Pengguna jalan raya yang lebih terdedah kepada bahaya seperti penunggang & pembonceng motosikal, penunggang basikal dan pejalan kaki. Mereka ini dikategorikan sebagai lebih terdedah kepada bahaya jika dibandingkan dengan kenderaan beroda 4 dan ke atas kerana mereka lebih senang untuk hilang keseimbangan dan tergolek/terjatuh di jalan raya. Jika anda memandu kenderaan yang lebih besar, anda perlu bertanggungjawab menjaga keselamatan golongan ini. Perlahankan kenderaan dan berikan ruang yang cukup atau lebih luas apabila menghampiri mereka. Elakkan membuat sesuatu atau pergerakan yang boleh membahayakan mereka.
            • Haiwan ternakan/haiwan liar yang melintas jalan. Bahaya/hazard jenis ini kebiasaannya lebih banyak di kawasan luar bandar. Oleh yang demikian, penumpuan sepenuhnya dan pemerhatian yang cekap perlu sentiasa diamalkan supaya kehadiran mereka dapat kita sedari dengan lebih cepat. Patuhi Peraturan Memandu Di Luar Bandar dan Pemanduan Pada Waktu Malam (akan diterangkan secara terperinci dalam artikel yang berasingan).

            Apabila bahaya jenis ini dikenalpasti, ramal apa yang mungkin berlaku kepada anda dan pengguna jalan raya yang lain supaya anda boleh merancang untuk mengambil tindakan yang sesuai dan selamat. Gunakan Teknik Menangani Hazard (I.P.D.A) yang akan diterangkan selepas ini. Kemalangan yang melibatkan haiwan juga banyak berlaku dan kesannya boleh jadi kecederaan parah atau kematian kepada haiwan atau manusia.

            Satu pesanan khas kepada para penternak haiwan di luar bandar, tolonglah jadi penternak (atau manusia yang dikurniakan akal fikiran) yang lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan haiwan ternakan dan juga pengguna jalan raya yang lain. Sudah banyak kali berlaku kemalangan yang melibatkan haiwan ternakan dan jika berlaku kecederaan parah atau kematian manusia akibat perlanggaran itu, maka para penternak atau tuan punya haiwan tersebut tidak mahu atau tidak akan bertanggungjawab terhadap kecuaiannya itu. Jalan raya sepatutnya bebas dari haiwan ternakan yang berkeliaran kerana ia boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian manusia lain yang tidak bersalah. Mungkin sampai masanya pihak berkuasa/kerajaan mewujudkan satu undang-undang untuk membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengangkut dan merampas/menyita haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya demi keselamatan manusia lain. Jika haiwan tersebut dikenalpasti pemiliknya, mungkin boleh didakwa di mahkamah.


            3. HAZARD PERMUKAAN JALAN

            Permukaan jalan raya kita mempunyai pelbagai rupa bentuk dan permukaan. Antara bahaya jenis ini adalah:

            • Permukaan jalan yang licin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jalan yang basah akibat hujan, tumpahan minyak, pasir, rumput-rumput atau daun-daun, najis haiwan, dan sebagainya. Jangan lupa, garisan atas jalan (road markings) juga mempunyai permukaan yang agak licin berbanding jalan raya itu sendiri. Seboleh-bolehnya elakkan daripada melalui atas permukaan tersebut.
            • Jalan berlubang juga menjadi punca kepada kemalangan kenderaan terutama sekali kepada penunggang basikal atau motosikal. Penumpuan, pemerhatian dan tindakan yang cepat dan selamat sangat perlu supaya kita boleh mengelak bahaya jenis ini. Bertindak lebih awal supaya tidak membuat sebarang pergerakan yang mendadak.
            • Jalan berlopak air. Jikalau kita terlanggar lopak air semasa bergerak dalam kelajuan yang agak tinggi, kemungkinan risiko untuk terbabas adalah sangat besar. Melanggar lopak air di atas jalan akan mencetuskan satu keadaan yang dipanggil “Hydroplane” atau “Aquaplane”. Secara ringkas ia bermaksud permukaan tayar yang terapung di atas permukaan air disebabkan oleh beberapa faktor seperti kelajuan, kelebaran dan kedalaman bunga tayar, kedalaman permukaan air dan beberapa faktor lagi. InsyaAllah saya akan huraikan perkara ini dalam topik akan datang. Seboleh-bolehnya elakkan daripada melanggar lopak air kerana ia bukan sahaja memungkinkan kenderaan hilang kawalan, malah mungkin juga terdapat lubang yang tersembunyi di bawah lapisan air itu.

            Seperti yang saya jelaskan tadi, teknik penumpuan dan pemerhatian terhadap permukaan jalan yang cekap sepanjang masa akan membolehkan kita dapat mengenalpasti dan mengambil tindakan dalam masa dan ruang yang mencukupi.

            • Permukaan Jalan Tidak Rata. Kenderaan anda mungkin akan hilang kawalan jika melalui kawasan sebegini. Setelah dikenalpasti rupa bentuk permukaan tidak rata, perlahankan kenderaan, tukar gear yang rendah, kawal stereng atau hendal motor dengan baik dan lepas halangan tersebut dengan selamat. Kecuaian kita menumpukan perhatian semasa memandu atau menunggang boleh menyebabkan kemalangan akibat tidak mengambil langkah yang betul dan selamat.


            Jadi kita sudah tahu apa itu Hazard, apakah jenis atau kategorinya dan apakah bahayanya. Seterusnya bagaimanakah cara untuk menghadapi atau menangani bahaya/hazard tersebut?

            Menurut seorang penulis, Duanne R. Johnson (1979), hazard perlu ditangani dengan betul dan selamat menggunakan Teknik Menangani Hazard yang diringkaskan sebagai I.P.D.A. Ia bermaksud Identify (Mengenalpasti), Predict (Meramal), Decide (Membuat Keputusan) dan Act (Bertindak). Penerangan lanjut seperti di bawah:

            • Identify (Mengenalpasti): Merujuk kepada penumpuan, pemerhatian dan mengenalpasti apa jenis atau kategori hazard yang dilihat berada di hadapan atau di sekitar anda. Setiap hazard ada jenis serta bahayanya.
            • Predict (Meramal): Untuk selamat di jalan raya, kita perlu sentiasa “bersangka buruk” terhadap sesuatu hazard yang telah kita kenalpasti tadi. Ia bermaksud apakah perkara terburuk yang mungkin boleh berlaku kepada kita disebabkan oleh hazard tersebut. Ia boleh meletakkan kita dalam keadaan berjaga-jaga.
            • Decide (Buat Keputusan): Selepas kita membuat ramalan, kita perlu pantas membuat keputusan yang sesuai dan selamat bagi menghadapi hazard tersebut. Antara keputusan yang mungkin kita buat adalah memperlahankan kenderaan, mengelak atau memberhentikan kenderaan untuk mengelak sebarang perlanggaran.
            • Act (Bertindak): Bertindaklah menggunakan alat kawalan kenderaan dengan betul dan selamat. Jika keputusan untuk memperlahankan kenderaan sudah dibuat tadi, tapi tindakan untuk melepaskan pemulas atau pemijak minyak/pedal pemecut, menekan brek dan menukar gear lebih rendah tidak dibuat, maka tiada gunanya.

            Saya akan cuba tingkatkan kefahaman anda melalui satu senario pemanduan dan hazard seperti di bawah:
            Saya sedang bergerak dengan kelajuan 80 km/j di laluan utama ke destinasi yang telah saya tetapkan. Sepanjang masa pemanduan, saya memberi sepenuh perhatian (concentration) dan sentiasa membuat pemerhatian (observation) yang cekap sepanjang masa.

            Tiba-tiba saya dapat melihat dan mengenalpasti (Identify) terdapat sekumpulan lembu yang kelihatan seperti sedang meragut (memakan) rumput di tepi jalan lebih kurang 100-250 meter di hadapan. Anda boleh lihat, secara tidak langsung teknik pertama iaitu Identify telah saya buat.

            Selepas itu terus saya membuat ramalan (Predict) bahawa apakah yang akan berlaku jika semasa melalui kawasan berhampiran dengan ternakan itu nanti, salah seekor lembu itu melintas jalan secara tiba-tiba! “Sempat atau tidak untuk membrek dengan kelajuan 80 km/j sekarang ni?” Terdetik dalam hati saya.

            Lalu saya pun terus membuat keputusan (Decide) “Oh kalau begitu, lebih baik aku perlahankan kenderaan aku supaya kalau benarlah ia akan melintas jalan, aku sempat membrek dan mengelak atau memberhentikan kenderaan aku dengan selamat..” Ujarku dalam hati lagi. Maka apabila otak saya telah membuat keputusan begitu, maka saya perlu bertindak segera!

            Maklumat yang telah diproses dalam otak tadi zahirkan melalui perbuatan yang dirancang dengan cara bertindak (Act). Maka untuk memperlahankan kenderaan kepada kelajuan yang lebih selamat, maka saya pun melepaskan pemijak minyak/pedal pemecut untuk mengurangkan kelajuan. Selain itu, saya menekan pedal brek untuk mengurangkan lagi kelajuan sambil menukarkan gear yang lebih rendah untuk membolehkan brek enjin berfungsi yang mana membantu lagi kenderaan untuk lebih perlahan dan terkawal.

            Maka secara kebetulan seekor anak lembu dalam kumpulan lembu tadi tiba-tiba melompat ke atas jalan raya kegirangan kerana dapat makan rumput yang segar bersama anggota keluarganya. Terima kasih kepada kontraktor pembersihan jalan kerana lambat memotong rumput di tepi jalan tu. Ada jugak rezeki untuk makhluk Tuhan yang lain..

            Jadi itulah ceritanya tentang topik kita hari ini.. Berkenaan dengan hazard, apakah ia, bagaimana ia boleh membahayakan kita dan bagaimana cara untuk menghadapinya.

            Sehingga kita berjumpa lagi di siri seterusnya, “Jalan, Tunggang dan Pandu Dengan Selamat”. Jadilah pengguna jalan raya yang berhemah..

            Pendidikan Keselamatan Jalan Raya dibawakan khas oleh Cikgu Marwan, Jurulatih Pemanduan dan Konsultan Keselamatan Jalan Raya dari Institut Memandu Arinah Holdings (M) Sdn Bhd.

            Kematian Di Jalan Raya, Satu Takdir Atau Pilihan Sendiri?

            Seperti biasa, berita kemalangan maut pasti ada di dalam akhbar harian di Malaysia. Ia sudah menjadi seakan-akan kewajipan untuk orang menemui ajalnya di jalan raya setiap hari di seluruh pelusuk negara kita. Ia juga sudah menjadi perkara biasa di kalangan masyarakat kita melihat berita kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan parah atau kematian setiap hari sehingga sudah tiada apa-apa perasaan terhadap perkara malang itu.

            Bercakap mengenai alat keselamatan yang sememangnya disediakan di dalam kenderaan, masih terlalu ramai yang tahu tetapi tidak ambil peduli tentang kepentingan pemakaian atau penggunaannya. Alat keselamatan yang paling asas yang WAJIB digunakan di sisi undang-undang adalah tali pinggang keledar. Pemandu serta setiap penumpangnya diwajibkan memakai tali pinggang keledar tersebut sebelum memulakan sebarang perjalanan, walaupun perjalanan yang dekat.

            Sudah terlalu banyak kematian akibat kedegilan para pemandu dan penumpang kenderaan yang mengetahui tentang undang-undang pemakaian alat tersebut tetapi akhirnya MEMILIH untuk tidak mengendahkannya. Akibatnya, kecederaan parah, kecacatan kekal mahupun kematian berlaku akibat kecuaian diri sendiri.

            Di Malaysia, melalui pemerhatian rambang yang saya lakukan setiap hari, pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa, guru sekolah, pegawai kerajaan (termasuk dalam bidang yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang jalan raya), anggota kesihatan, guru memandu (pun ada) dan ramai lagi untuk disenaraikan, gagal untuk mengambil berat dan menjadi pemandu dan penumpang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan diri mereka dengan TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR.

            Adalah sangat menyedihkan apabila kita lihat sendiri ramai juga guru sekolah, anggota keselamatan, pegawai dan kakitangan perubatan termasuk guru memandu (juga dikenali sebagai Pengajar Memandu) mengambil remeh perkara ini setiap hari. Mereka sepatutnya sedar, adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemandu atau penumpang untuk menjaga keselamatan diri masing-masing. Mereka juga adalah golongan yang perlu sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam melalui perbuatan mereka. Bantu pihak berwajib untuk mendidik orang awam tentang pentingnya pemakaian alat keselamatan tersebut. Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus, masyarakat kita akan sentiasa terikut-ikut dengan contoh yang tidak baik yang ditunjukkan oleh mereka semua.

            Pendidikan Keselamatan Jalan Raya perlulah bermula dari rumah, di mana ibubapa perlu bukan sahaja mengajar, malah sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka dengan memakai dan memastikan mereka telah memakai tali pinggang keledar sebaik sahaja memasuki kenderaan. Guru-guru di sekolah juga perlulah sedar yang mereka ini sebenarnya adalah idola para murid dan sentiasa menjadi ikutan mereka. Para anggota beruniform dan penguatkuasaan dari pelbagai agensi (walaupun kepada sesetengah agensi kerajaan dikecualikan dari undang-undang pemakaian tali pinggang keledar), perlulah juga memakai dan menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai supaya menjadi ikutan.

            Alasan dikecualikan daripada pemakaian tali pinggang keledar bagi pendapat saya, adalah tidak masuk akal kerana walau siapa anda sekalipun, anda tidak akan terlepas daripada mengalami kecederaan parah atau kematian akibat kegagalan memakai tali pinggang jika berlaku kemalangan jalan raya. Itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa ia perlu dipakai oleh semua golongan demi keselamatan mereka sendiri.

            Ya benar, apabila bercakap soal kematian, ramai juga yang berkata bahawa walaupun dengan memakai tali pinggang keledar, ajal maut di tangan Tuhan, siapa kita untuk menidakkannya. Tiada jaminan bahawa seseorang yang memakai tali pinggang keledar dijamin TIDAK AKAN MATI jika terlibat dalam kemalangan. Memang terdapat kes di mana mangsa mati walaupun telah memakai alat keselamatan tersebut, walaupun jumlahnya adalah sangat sedikit. Jangan sesekali kita lupa, Tuhan hanya memberi kita SATU, bukan dua atau tiga nyawa kepada diri kita. Selain daripada berserah kepada takdir, kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga nyawa yang satu-satunya kita ada ini untuk memastikan kita selamat. Selain daripada berdoa memohon kepada Tuhan supaya kita dijauhkan dari kemalangan jalan raya, kita perlu berusaha untuk memastikan diri kita selamat dengan memakai alat keselamatan itu.

            Usaha tersebut bolehlah digambarkan seperti situasi semasa kita ingin melintas jalan raya. Sebelum membuat keputusan untuk melintas, semestinya kita akan melihat ke kanan, kiri dan kanan sebelum berbuat demikian. Perbuatan melihat ke kanan, kiri dan kanan itulah sebenarnya usaha yang anda lakukan untuk memastikan keadaan selamat sebelum melintas.

            Sememangnya ada juga mangsa kemalangan yang terselamat dari kecederaan parah atau kematian, namun jumlahnya sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah kematian. Dan jangan lupa, mangsa tersebut mungkin “bernasib baik” pada hari kejadian tersebut, dan “nasib baik” itu mungkin tidak berlaku lagi di lain kali. Adakah kita hanya berserah kepada “nasib baik” semata-mata?

            Walaupun pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), agensi-agensi berkaitan yang lain serta kami sendiri akan sentiasa berusaha untuk memberi pendidikan serta kempen kesedaran terhadap kepentingan pemakaian tali pinggang keledar, sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal yang waras, perlu sedar dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri dan penumpang lain. Kebarangkalian untuk anda terlepas dari kecederaan parah atau kematian adalah sangat rendah berbanding dengan tidak memakainya. Saya atau kita semua sudah lihat betapa sengsaranya keluarga yang kehilangan ahli keluarganya sendiri akibat kemalangan jalan raya. Kita perlu membuat sesuatu supaya peristiwa malang tersebut tidak berterusan setiap hari. Masing-masing sebagai pengguna jalan raya perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dalam keselamatan jalan raya. Kematian di jalan raya adalah sesuatu yang sangat merugikan, bukan sahaja kepada keluarga, organisasi malah kepada negara.

            Sebagai seorang pemandu, tanggungjawab anda sangatlah besar. Jika anda masih ingat, semasa anda belajar memandu di Institut Memandu dan diuji pula oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, antara kesalahan mandatori yang akan menyebabkan anda gagal serta-merta adalah tidak memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan. Jika anda benar-benar ikut apa yang telah diajar dahulu, anda akan faham tentang kepentingannya. Maaf jika saya katakan, jika anda hanya mematuhi peraturan jalan raya semasa belajar memandu dan semasa diuji, anda sebenarnya TIDAK LAYAK diberikan lesen memandu kerana anda seorang yang TIDAK BERTANGGUNGJAWAB.

            Statistik telah menunjukkan bahawa lebih kurang 80% punca kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian pemandu sendiri. Satu perkara penting sebagai pesanan terakhir untuk topik ini, walaupun anda dan penumpang sudahpun memakai tali pinggang keledar, itu bukan bermakna anda boleh memandu dengan lebih laju dan melulu. Sentiasa patuhi peraturan dan undang-undang di jalan raya untuk memastikan keselamatan anda dan pengguna jalan raya yang lain.

            Akhir kata, sama-samalah kita merialisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai angka sifar kematian di jalan raya satu hari nanti. Tiada kompromi terhadap keselamatan jalan raya. Berubahlah sebelum terlambat, bak kata pepatah “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya..”

            “Jalan, Tunggang dan Pandu Dengan Selamat. Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Kita Bersama”